KUALA LUMPUR – Muatan berlebihan pada lori tipper yang membawa batu kerikil iaitu melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) dilaporkan menjadi punca utama kemalangan maut mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu.
Tragedi itu berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, faktor tersebut menyebabkan pemandu kehilangan kawalan sebelum melanggar lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.
Pendedahan itu dibuat menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berkata, laporan itu boleh diakses melalui portal rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysa (MOT) mulai 31 Oktober ini.
Menurutnya, laporan ini disediakan secara bebas dan objektif oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri bagi mengenal pasti punca kejadian serta mencadangkan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
“Laporan turut mengesahkan tiada sebarang kegagalan mekanikal pada sistem brek atau stereng, sebaliknya, kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebanyak 16 syor keselamatan dikemukakan menerusi laporan tersebut, meliputi enam bidang utama antaranya peningkatan pematuhan keselamatan, penambahbaikan Akta 715 serta penambahan ciri keselamatan pada kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.
MOT menegaskan, siasatan keselamatan ini tidak bertujuan untuk menentukan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat supaya tragedi seumpamanya tidak berulang pada masa hadapan. – MalaysiGazette
















