SHAH ALAM – Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap lapan pertuduhan menerima wang lebih RM93,000 daripada seorang individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Berdasarkan pertuduhan, Mahazam Ali, 47, berpangkat Kapten TLDM dan bertugas sebagai pengarah Cawangan Komunikasi, Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan, didakwa menerima wang antara RM10,000 hingga RM14,400 bagi setiap transaksi, melalui beberapa deposit yang dibuat antara Oktober 2023 hingga April 2025 di sebuah bank di Shah Alam.
Wang berkenaan didakwa diterima daripada Chong Gui Lin, melalui individu dikenali sebagai Siti Nor Badariah Marzuki menerusi beberapa transaksi ketika tertuduh memegang jawatan berkaitan sumber manusia dan kemudian komunikasi elektromagnetik di kementerian pertahanan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, peguam mewakili tertuduh iaitu Lee Keng Fat merayu jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya yang menurutnya sudah berkhidmat 29 tahun dan masih bertugas dalam pasukan tentera.
Bagaimanapun, hakim menegaskan jawatan tertuduh menjadikan kes itu sangat sensitif kerana melibatkan keselamatan negara.
“Ini kes serius kerana membabitkan komunikasi dan memberi kesan kepada pertahanan negara. Soal keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 17 Disember sebagai tarikh sebutan semula.
Dalam masa yang sama, tertuduh dilarang mengganggu atau menghubungi saksi, termasuk mereka yang mungkin berasal dari kementerian sama, serta dilarang mengakses fail atau data berkaitan kes
Sebagai info, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Atirah Mohd Azuarizanuddin. – MalaysiaGazette
















