SHAH ALAM – Seorang pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan bersubahat dengan isterinya memperdaya pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mendapat kontrak perolehan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025.
Shahrul Nizam Shaf’in, 51, yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan TUDM, didakwa bersubahat dengan isterinya, Citra Angrini Alam Mappiase, 36, yang merupakan pemilik syarikat Protective Trading & Advisory Services pada 13 Mei lalu.
Menurut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Citra Angrini untuk memperdaya Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Subang, Norli Hisham Alwi, dengan mengemukakan sebut harga palsu bernilai RM24,200 di Jalan Kenyalang 11/13, Bayu Damansara, Kota Damansara.
Tindakan itu didakwa bertujuan memperdaya Norli untuk meluluskan D Draxis Group Sdn Bhd sebagai pembekal alat sokongan bagi penugasan LIMA 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 417, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Citra Angrini juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim sama.
Dalam masa yang sama, anggota bahagian perolehan TUDM Subang, Mohamad Amir Bakri Che Abdul, 32, turut didakwa di mahkamah sama atas tuduhan bersubahat dengan Citra Angrini.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan. juga mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi.
Shahrul Nizam dan Citra Angrini diwakili peguam Tunku Muhammad Sulaiman Tunku Harmy manakala Mohamad Amir tidak diwakili peguam.
Nasir kemudian menetapkan jaminan RM7,000 masing-masing kepada Shahrul Nizam dan Mohamad Amir, manakala RM8,000 terhadap Citra Angrini.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember 2025. -MalaysiaGazette
















