KAJANG – Penduduk perumahan Taman Prima Saujana Seskyen 4 di sini resah apabila kawasan perumahan mereka dipenuhi semak, air bertakung dan longgokan sampah yang mengancam keselamatan serta kesihatan.
Menurut wakil penduduk, L. Francis Xavier, masalah yang berlarutan sejak sekian lama telah menimbulkan ketidakselesaan apabila kawasan berkenaan menjadi tempat pembiakan nyamuk, tikus dan ular kecil.
Beliau berkata, keadaan semakin membimbangkan apabila sebahagian kawasan di belakang deretan rumah dibiarkan tidak terurus, dipenuhi barangan lama serta tumbuhan liar yang menutup laluan dan menyukarkan pergerakan.
“Kami sudah beberapa kali bersihkan kawasan berhampiran rumah masing-masing, tapi masalah tetap berulang sebab masih ada penduduk yang tidak menjaga kebersihan.
“Selain itu, laluan belakang rumah yang sempit dan dipenuhi halangan termasuk binaan tambahan mengundang kebimbangan sekiranya berlaku kebakaran kerana pasukan penyelamat sukar untuk masuk,” katanya hari ini.

Tambahnya, penduduk juga bimbang dengan keadaan taman permainan kanak-kanak di kawasan itu yang dipenuhi pokok mati dan pokok tumbang selepas hujan lebat baru-baru ini.
“Ada pokok besar yang dah mati tapi belum dipotong, malah ada yang dah tumbang dan menutupi sebahagian kawasan permainan. Ia bahaya kepada kanak-kanak kalau tidak dibersihkan segera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turun padang segera dan mengambil tindakan tegas demi keselamatan penduduk.
“Kami minta MPKj buat pemeriksaan menyeluruh, keluarkan notis kebersihan kepada penghuni yang gagal jaga kawasan masing-masing, potong pokok mati dan bersihkan kawasan permainan yang terjejas.
“Penduduk berharap langkah segera dapat diambil bagi memastikan persekitaran Prima Saujana kembali bersih, selamat dan terurus untuk kesejahteraan semua,” katanya. – MalaysiaGazette















