Dr. Suffian Sani Sayuti mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang bertanding di Spartan Extreme Endurance: AGOGE 300, di Sparti, Greece.

KUALA LUMPUR – Dr. Suffian Sani Sayuti mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang bertanding di Spartan Extreme Endurance: AGOGE 300 di Sparti, Greece semalam.

Acara ekstrem lasak yang melibatkan perjalanan sejauh 115 kilometer itu merentasi kawasan bersejarah Sparta bersama 300 peserta dari seluruh dunia yang bukan sekadar ujian fizikal tetapi simbol perjuangan untuk melampaui batas diri, menjiwai semangat pahlawan purba dan membina daya tahan luar biasa.

Doktor perubatan itu berkata, misinya bukan hanya untuk menamatkan cabaran itu namun untuk membuktikan Malaysia juga mampu berdiri sebaris dengan atlet antarabangsa dalam sukan ekstrem dan ketahanan lasak.

Pengasas Megaklinik Dr Suffian (MKDS) itu berharap perjalanannya itu menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia terutama komuniti MKDS, pesakit dan rakan-rakan yang sedang berjuang memperbaiki kesihatan serta keyakinan diri.

“Kita semua adalah atlet dalam kehidupan masing-masing dan misi kita adalah untuk menang setiap hari bukan dengan mengalahkan orang lain tetapi dengan menjadi versi terbaik diri sendiri.

“Perasaan saya bercampur-baur iaitu gemuruh, teruja dan pada masa sama terasa besar tanggungjawab untuk menjaga imej Malaysia tercinta di pentas dunia.

“Setiap insan boleh mencapai potensi maksimum mereka dengan bimbingan, sistem dan protokol yang betul yang menjadi falsafah utama kami di MKDS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai persiapan mengharungi kejohanan dunia itu, Dr Suffian berkata, dia telah menyertai marathon sejauh 80 kilometer dan aktif dalam kategori Hurricane Heat bagi tempoh waktu selama empat, 12 dan juga 24 jam selain latihan kekuatan.

Katanya, latihan keseluruhan diselia oleh Celebrity Fitness Trainer, Mr. Keyhan, dan disokong oleh sistem Protokol Pengoptimuman Prestasi Peptida MKDS yang dirumus khas beliau sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast