KUALA LUMPUR – Seorang pakar ekonomi berpendirian`generasi sandwic’ wajar mengeluarkan wang penuh persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia lebih lewat sebagai persediaan menampung perbelanjaan sendiri dan dua generasi lain dalam tempoh serentak.
Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, generasi X yang turut dikenali sebagai `generasi sandwic’ terpaksa menanggung hidup dengan pendapatan tidak mencukupi dan pada masa sama perlu membiayai ibu bapa yang rata-rata merupakan warga emas.
Menurut beliau yang juga Pensyarah Kanan, Business School Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pengeluaran KWSP pada usia 55 tahun dan 65 tahun yang diamalkan kini perlu dinaikkan bertujuan membantu pekerja menambah lagi simpanan dan memberi masa lebih stabil untuk mengurus tanggungan keluarga dengan lebih selesa.
“Dengan gaya hidup dan teknologi dalam industri kesihatan, ramai yang masih boleh bekerja dan berada pada usia yang sihat dan berproduktif tinggi,” ujar beliau kepada Malaysia Gazette hari ini.
Aimi Zulhazmi mengutarakan pandangannya berhubung perdebatan umum mengenai cadangan melanjutkan umur persaraan melebihi 65 tahun bagi membolehkan akses kepada wang persaraan KWSP dilewatkan.
Baru-baru ini, Bank Dunia mencadangkan Malaysia menyesuaikan dasar persaraan dengan jangka hayat rakyat yang semakin meningkat sambil menyifatkan akses kepada simpanan yang diamalkan kini sebagai terlalu awal dan boleh menyebabkan simpanan habis sebelum tamat tempoh persaraan.
Laporan Bank Dunia turut menjangka 14 peratus penduduk Malaysia akan berusia 65 tahun ke atas menjelang 2045 dan angka itu dijangka meningkat kepada 20 peratus pada 2056 sekali gus memerlukan perancangan persaraan lebih kukuh.
Bank itu dalam kajian terbaharunya bertajuk Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues And Options yang dilancarkan dua hari lalu berpendapat, umur akses pengeluaran simpanan pada 55 tahun dianggap terlalu rendah bagi struktur demografi Malaysia yang semakin menua.
Justeru, penetapan umur akses antara 65 dan 70 tahun akan kelihatan lebih sejajar dengan demografi negara ini kerana umur lebih tinggi bagi pengeluaran persaraan juga akan membolehkan faedah purata yang lebih tinggi untuk mereka yang telah menerima pencen sosial.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, jika dibandingkan dengan Malaysia, kebanyakan negara-negara membangun sudah mengamalkan usia persaraan 60 tahun.
Ujarnya, jangka hayat rakyat negara ini secara purata adalah 75 tahun yang disebabkan oleh pelbagai faktor seperti taraf hidup yang lebih baik, pemakanan yang meningkat dan aspek kesihatan yang semakin positif.
Kata pakar ekonomi itu, cadangan melanjutkan umur persaraan adalah berdasarkan status negara juga ke arah menjadi negara menua dengan populasi warga emas dijangka meningkat setiap tahun.

Beliau menjelaskan, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada populasinya terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Fenomena itu disebabkan oleh peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran yang menyumbang kepada peningkatan golongan warga emas. – MalaysiaGazette















