Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan tujuh warganegara Malaysia disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah siber bernilai kira-kira RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, pihaknya turut menerima maklumat daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung pembabitan 27 warga republik itu bersama tujuh rakyat tempatan dalam sindiket berkenaan.

“PDRM melalui JSJ menerima maklumat SPF berhubung pembabitan 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia dalam kegiatan jenayah siber berjumlah kira-kira RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja.

“Sehubungan itu, PDRM melaksanakan tindakan untuk mengesan serta menahan semua individu yang disyaki terbabit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Kumar, semua tujuh suspek warga Malaysia itu kini disenaraikan dalam senarai orang yang dikehendaki bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut.

“PDRM kekal komited memperhebat usaha pengesanan dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara.

“Kami akan memberikan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast