KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Datuk Albert Tei yang beberapa kali mencabar diri untuk terjun dari jambatan di Menara KLCC bukan gurauan atau drama murahan.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sebaliknya Tei boleh disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan sebagai cubaan membunuh diri.
“Ini bukan isu kecil atau bahan lawak. Jika seseorang sudah menunjukkan niat untuk mencederakan diri secara terbuka, ia boleh disiasat dan didakwa.
“Seksyen 309 memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Tei dalam rakaman video klip berdurasi lima minit 18 saat di akaun TikTok miliknya mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengemukakan bukti berhubung pelbagai tuduhan terhadap dirinya.
Dalam klip video itu Tei yang berdiri berlatar belakangmenara KLCC mengancam untuk terjun dari jambatan bangunan ikonik negara itu sekiranya pendedahannya sebelum mengenai rasuah pemimpin GRS tidak berasas.
Zulkarnain juga berkata, tindakan Tei bukan sahaja menjejaskan imej peribadi, bahkan mengundang panik awam, terutama apabila dilakukan secara terbuka di media sosial. – MalaysiaGazette
















