Christopher Ng (kiri) dan Mohd. Fadzli Mohd Kenali (dua dari kiri) pada majlis pembukaan pusat pameran Rigel di Petaling Jaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penyedia penyelesaian bilik air pintar dan produk sanitari, Rigel Technology (M) Sdn. Bhd., melancarkan bilik pameran gaya hidup pertamanya di Malaysia, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam inovasi sanitari moden dan pintar di negara ini.

Bertempat di Petaling Jaya, dekat sini, bilik pameran itu mentakrifkan semula masa depan ruang kediaman dengan menggabungkan rekaan pintar, inovasi mesra alam dan keselesaan gaya hidup di bawah satu bumbung.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rigel, Christopher Ng berkata, pusat pameran itu mempamerkan rangkaian produk termaju Rigel serta teknologi bilik air pintar, sekali gus menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung berkenaan kelestarian, kemudahan hidup moden dan kesihatan diri.

“Pelancaran bilik pameran ini mencerminkan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan inovasi berterusan dalam usaha membentuk masa depan kehidupan pintar yang lebih mampan dan berteknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat pameran itu, baru-baru ini.

Majlis pelancaran pusat pameran itu disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Pada majlis sama, Rigel turut memperkenalkan sistem tandas pintar Internet-of-Toilet (IoT) iaitu sistem pengurusan tandas pintar yang direka untuk mengoptimumkan kebersihan, kecekapan dan kelestarian dalam persekitaran komersial.

Menurut Christopher, Rigel IoT menggabungkan rangkaian penderia pintar dan peranti terhubung termasuk injap siram automatik, paip deria, pemantau kualiti udara, penderia suhu dan kelembapan serta pengira penggunaan.

Jelasnya, kesemua teknologi itu berperanan mengumpul data masa nyata untuk pengurusan tandas, pengesanan kerosakan, analisis data dan pemantauan prestasi.

“Ekosistem digital itu membolehkan pengurus fasiliti mencapai kecekapan operasi yang lebih tinggi, kos penyelenggaraan yang lebih rendah serta pengalaman pengguna yang lebih baik.

“Ini sekali gus menandakan kepimpinan Rigel dalam mendefinisi semula landskap sanitasi pintar di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, pembukaan pusat pameran tersebut dilihat langkah positif bagi memperkukuh penggunaan teknologi moden dan lestari khususnya dalam meningkatkan kualiti kemudahan tandas awam.

Menurutnya, sejak tahun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan konsep Tandas Awam BMW (Bersih, Menawan dan Wangi) bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam negara.

Jelas beliau, konsep itu menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sektor swasta dalam memastikan kemudahan awam lebih bersih, selesa dan bertaraf antarabangsa terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).

“Kami percaya kejayaan mencapai aspirasi bandar pintar dan persekitaran mampan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta.

“Sehubungan itu, kementerian menyeru lebih banyak syarikat tampil memperkenalkan inovasi berdaya saing yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar, seperti yang dipelopori Rigel Technology,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast