GEORGE TOWN – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan usaha menangani isu sosial dalam kalangan pelajar dilaksanakan secara bersama melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Beliau berkata, pendekatan itu sejajar dengan komitmen kerajaan Madani yang menekankan kerjasama merentas kementerian bagi menangani sebarang isu secara menyeluruh dan berterusan.
“Setiap komitmen kerajaan Madani berkaitan apa saja isu adalah merentas kementerian dan sememangnya kerjasama dengan KPWKM sudah menjadi sebahagian besar daripada agenda bersama.
“Kita ada beberapa program (bersama KPWNM) yang saya fikir dilaksanakan dengan sangat baik, khususnya untuk program melindungi kanak-kanak, advokasi berkaitan kesalahan jenayah seksual, pembangunan serta kesihatan reproduktif yang memberikan kesan besar kepada kedua-dua kementerian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil bersempena Muktamar Wadah negeri Pulau Pinang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang di sini.
Tambah beliau, kerjasama antara kementerian akan terus digarap dengan lebih meluas pada masa hadapan.
Katanya, penglibatan ibu bapa dan komuniti juga amat penting dalam memastikan keberkesanan pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, khususnya dalam memperkukuh nilai kekeluargaan.
“Bila ada isu, ia harus dilihat sebagai tanggungjawab bersama masuk semua kementerian, komuniti, ibu bapa dan masyarakat.
“Ini juga yang disebut dalam ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta dalam pelaksanaan immediate reform yang kita jalankan.
“Selain itu, penglibatan maksimum daripada ibu bapa juga diperlukan dalam pembangunan keluarga dan pembesaran anak-anak bagi memastikan kejayaan program serta peneguhan nilai dalam keluarga dan masyarakat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan reformasi segera ke atas sistem dan mekanisme sedia ada, di samping pemerkasaan program pendidikan yang sedang berjalan bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, reformasi ini merentasi kementerian terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). – MalaysiaGazette















