Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Hampir 80 peratus atau 13.1 juta dari 16.5 juta warganegara Malaysia yang layak menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, melibatkan nilai jualan lebih RM2.66 bilion sehingga 31 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penggunaan lebih 1.33 bilion liter RON95 itu menunjukkan sistem penyasaran subsidi petrol berfungsi dengan baik serta diterima oleh majoriti pengguna.

“Bulan pertama pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan stabil dan secara amnya, tidak mengakibatkan kerumitan atau barisan panjang menunggu, malah pengguna semakin biasa menggunakan BUDI95.

“Kerajaan akan melakukan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan sistem BUDI95 dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan,” katanya ketika sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin meminta Menteri Kewangan menyatakan status pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan sejauh mana hanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar menikmati manfaat tersebut.

Selain itu, kata Hui Ying, kerajaan juga telah menambah golongan pengguna bot sungai kepada pangkalan data rakyat yang layak untuk subsidi BUDI95.

“Di samping itu, pemandu e-hailing diberi had kelayakan tambahan.

“Ia bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat subsidi, di samping menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Menurut Hui Ying, penjimatan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi melalui program BUDI95 akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat menerusi inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan BUDI95 secara berperingkat, bermula dengan anggota tentera dan polis pada 27 September 2025.

Ini diikuti oleh penerima STR pada 28 September 2025 dan seterusnya diperluaskan kepada warganegara Malaysia yang layak pada 30 September 2025.

Di bawah program penyasaran ini, semua warganegara Malaysia pemegang MyKad yang memiliki lesen memandu yang sah layak menikmati harga bersubsidi bagi petrol RON95, iaitu sebanyak RM1.99 seliter.

Sementara itu, bukan warganegara akan dikenakan harga runcit tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter, yang ditentukan oleh Kementerian Kewangan berdasarkan Automatic Pricing Mechanism. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast