Sindiket ‘ah long’ atau peminjam tanpa lesen bukan sekadar urusan pinjaman haram ia kini mencerminkan kegagalan sistem penguatkuasaan dan krisis kemanusiaan yang menjerat rakyat biasa dalam ketakutan. 

Isu ah long telah lama wujud, tetapi kini semakin terbuka dan tidak lagi takut kepada undang-undang. Mereka menyimbah cat merah, mengugut dengan gambar lucah, malah mengancam keluarga mangsa secara terbuka di media sosial. Sindiket ini hidup dan membiak atas kelemahan sistem serta ketakutan mangsa yang tidak berkesudahan.

Berdasarkan tinjauan dan pengamatan saya di sidang media Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) hari ini, ramai mangsa sebenarnya telah membuat laporan polis.

Namun apa yang menyedihkan, kebanyakan kes tidak menunjukkan perkembangan. Ada laporan diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action), ada yang sekadar menjadi covering report.

Rata-rata mangsa yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan tidak lagi percaya kepada sistem keadilan, kerana walaupun sudah membuat laporan, sindiket ah long tetap berani menghantar ugutan setiap hari.

“Polis tahu, tapi mereka pun tak takut,” kata seorang mangsa dalam nada kecewa.

Mengapa ‘Ah Long’ tidak takut?

Soalan ini turut dibangkitkan oleh Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, katanya undang-undang sedia ada sebenarnya cukup keras di bawah peraturan Pemberi Pinjam Wang 1951, mana-mana individu yang melakukan gangguan atau ugutan (harassment) boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

Namun realitinya, pelaksanaan undang-undang itu seolah-olah tumpul.

“Kalau hukuman sudah jelas, mengapa ah long masih tidak takut? Adakah kerana mereka yakin tidak akan ditangkap?” tegasnya.

Persoalan ini menggambarkan jurang besar antara undang-undang di atas kertas dan keberkesanan di lapangan. Selagi penguatkuasaan tidak konsisten, selagi itu sindiket akan terus bermaharajalela bukan kerana berani, tetapi kerana tahu mereka tidak akan dihukum.

Setiap kali saya menemu bual mangsa, kisahnya berbeza tetapi nadanya sama derita tanpa penghujung. Ada yang kehilangan keluarga, bergaduh dengan jiran, ada juga yang berhenti kerja kerana malu dan tertekan. Kesannya bukan sekadar kewangan, tetapi psikologi dan sosial.

Kerugian akibat kegiatan ini dipercayai mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun duit atas angin hasil bunga harian dan ugutan tiada batas. Yang lebih membimbangkan, masyarakat mula melihat perbuatan keji seperti ugut dan sebar aib sebagai ‘biasa. Kita sedang menormalkan kekejaman.

Dalam usaha memecahkan kitaran ini, MHO hari ini melancarkan kempen berani ‘Hentikan Bayaran kepada Ah Long’ menyeru rakyat agar tidak lagi membayar kepada peminjam tidak berlesen dan sebaliknya menegakkan hak mereka melalui undang-undang.

15 mangsa ‘ah long’ atau peminjam wang tidak berlesen tampil membuat pendedahan dan pembongkaran hari ini.

Kempen ini harus dipuji. Ia dijalankan dengan keikhlasan dan keberanian moral bukan untuk sensasi, tetapi untuk menyedarkan masyarakat bahawa tunduk kepada ketakutan hanya menguatkan penjenayah.

MHO menegaskan, setiap mangsa ada hak untuk dilindungi dan tidak wajar dihukum kerana keperluan mereka pernah disalahgunakan.

Hakikatnya, kerajaan tidak boleh terus berdiam diri. Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 mesti dikaji semula agar relevan dengan modus operandi digital masa kini. Task force antara PDRM, Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu diwujudkan bagi memburu dalang sebenar, bukan hanya ejen lapangan.

Pendidikan kewangan dan skim mikro kredit patuh syariah juga perlu diperluas agar rakyat tidak lagi bergantung kepada pinjaman haram. Masyarakat pula harus berhenti menstigma mangsa mereka bukan penjenayah, tetapi mangsa sistem yang gagal melindungi mereka.

Sebagai wartawan MalaysiaGazette yang hadir di sidang media hari ini, saya melihat isu ini bukan sekadar angka, tetapi wajah-wajah manusia yang kecewa. Mereka telah membuat laporan, mereka telah memohon bantuan, tetapi sistem gagal memberi mereka keadilan.

Ah long bukan lagi isu pinjaman. Ia adalah isu kemanusiaan tentang hak untuk hidup tanpa ugutan, tanpa rasa malu, tanpa ketakutan. Selagi undang-undang tidak ditegakkan secara konsisten, selagi itu kita sedang memberi lesen diam kepada penindasan.

Kita tidak boleh lagi membiarkan kezaliman ini menjadi rutin. Sudah tiba masanya negara membuktikan bahawa undang-undang bukan hanya untuk yang lemah tetapi untuk melindungi semua rakyat daripada jenayah yang menggadaikan kemanusiaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast