KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 permohonan telah diluluskan penggunaan data Pangkalan Data Utama (PADU) untuk pelbagai penentuan dasar dan program termasuk pelaksanaan subsidi bersasar sehingga 31 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penggunaan data PADU menjadi rujukan bagi pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).
“Rujukan ini termasuk melaksanakan semakan dan pengesahan maklumat kumpulan sasar berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh PADU daripada agensi-agensi kerajaan.
“Hal ini membolehkan agensi pelaksana menyediakan bantuan kepada penerima yang benar-benar layak,” katanya ketika sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad meminta Menteri Ekonomi menyatakan kajian keberkesanan sistem PADU dalam pelaksanaan subsidi bersasar sebelum ia dimulakan secara lebih meluas.
Ia termasuk jumlah penerima yang telah disemak semula serta langkah mitigasi untuk mengelakkan keciciran golongan B40 dan M40 yang terjadi secara sistemik mahupun secara teknikal.
Dalam pada itu, Hui Ying juga berkata, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sentiasa memperkemas dan menambah baik proses serta prosedur perkongsian data PADU termasuk meningkatkan aspek keselamatan dan kualiti data.
“Hal ini bagi memastikan proses perkongsian data yang berkualiti dan berintegriti dapat dilaksanakan dengan lancar untuk penghasilan analisis data yang lebih tepat.
“Sejak sistem PADU dilancarkan pada Januari 2024, sebanyak 30.4 juta profil individu dan isi rumah warganegara, serta pemastautin tetap di Malaysia direkodkan.
“Antara maklumat yang tersedia adalah demografi, lokaliti, pekerjaan, pendapatan, pendidikan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang diterima,” katanya.
Selain itu, katanya, sebanyak 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU.
“Antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Data PADU yang terangkum dan terkini membolehkan ia menjadi rujukan agensi kerajaan dalam merangka dasar dan program yang menepati keperluan kumpulan sasar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















