Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Polisi Awam dan Kepimpinan 2025 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Persidangan Antarabangsa Polisi Awam dan Kepimpinan (ICPPL 2025) anjuran Universiti Malaya hari ini menjadi platform penting membincangkan isu-isu utama berkaitan pelaksanaan dasar dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, persidangan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pengasas dasar, wakil agensi kerajaan, pelajar sarjana dasar awam serta individu yang pernah terlibat secara langsung itu menumpukan perhatian terhadap cabaran dalam memastikan prinsip dan perancangan dasar dapat dilaksanakan dengan baik.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah bagaimana memastikan setiap dasar yang dirangka dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan.

“Perdana Menteri baru-baru ini menyebut bahawa negara mempunyai pelbagai perancangan hebat namun cabaran sebenar terletak pada aspek pelaksanaan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan ICPPL 2025 di sini hari ini.

Zambry berkata, persidangan tiga hari itu diharap dapat menghasilkan cadangan konkrit bagi memperkukuh sistem penyampaian kerajaan melalui pendekatan digital.

Antara cadangan yang diketengahkan termasuk penggunaan platform seperti GovTax dan MyGovernment sebagai instrumen meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Prinsip transformasi digital sudah pun menjadi asas dalam pentadbiran kerajaan. Kini kita perlu memastikan sistem digital yang sedia ada benar-benar membantu proses penyampaian dasar agar lebih pantas dan berkesan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan peranan penting Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi seperti Universiti Malaya dalam melahirkan tenaga pakar serta penyelidik yang dapat menyumbang kepada pembangunan dasar awam negara.

“Universiti Malaya melalui program Dasar Awamnya menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan pengalaman antara pelaksana dasar, penyelidik, dan pelajar bagi memastikan kerajaan dapat menyediakan sistem perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.

Persidangan tersebut dijangka menjadi medan penting bagi merumuskan strategi baharu memperkukuh keupayaan sistem penyampaian kerajaan selaras dengan agenda transformasi digital negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast