Logo halal Jakim.

KUALA LUMPUR – Majlis Ekonomi Halal (MEH) menegaskan kerajaan perlu memastikan standard halal Malaysia diiktiraf dalam semua perjanjian perdagangan.

Ia termasuk dalam konteks perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kata Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim.

Menurut beliau, hal itu penting untuk memastikan kepercayaan pengguna muslim tempatan dan antarabangsa tidak tergugat serta mengekalkan reputasi Malaysia sebagai hab halal global.

“MEH risau dengan perjanjian ini berisiko membuatkan Malaysia ‘terpaksa’ menerima lambakkan produk makanan dan pertanian AS yang diragui halal meskipun dikatakan punyai label halal,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Helmi berkata, MEH menyeru kerajaan mengkaji semula perjanjian itu memandangkan kemampuan aspek keterjaminan halal oleh pemain industri AS sangat diragui.

“MEH tidak mahu Malaysia terpaksa berkompromi dalam aspek keterjaminan halal semata-mata untuk memenangi hati AS. Isu halal tidak sepatutnya menjadi bargaining tools untuk dapatkan keistimewaan dalam aspek perdagangan lain,” katanya.

Dalam konteks perjanjian Malaysia – AS, MEH menyeru agar sebarang produk yang dilabel halal dari Malaysia di AS mematuhi pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf JAKIM.

Kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan AS untuk memastikan pemantauan, audit dan kepatuhan halal dijalankan secara telus dan berkesan.

“Kepentingan pemain industri halal Malaysia tidak dikompromikan demi menjaga kepentingan perdagangan dua hala Malaysia – AS.

“Ini merupakan acid test kepada Dasar Halal Negara yang bakal digubal,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast