Bangunan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Foto AIZAT ZAINAL, 17 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan tujuh pemain warisan.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan menulis kepada badan induk bola sepak dunia itu untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya, mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di mana rayuan kami telah ditolak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook FAM, hari ini.

Pada 26 September lalu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya menyatakan FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Selain itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM serta menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan selepas didakwa melakukan pemalsuan dokumen kelayakan.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Menurut Mohd Yusoff, ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini dan pihak peguam serta pengurusan FAM amat terkejut dengan keputusan tersebut.

Tambah beliau, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast