KOTA TINGGI – Pencemaran Sungai Sayong berhampiran Kampung Sungai Sayong Pinang di sini didakwa sudah semakin pulih.
Namun masih belum disahkan sama ada kandungan airnya sudah selamat, kata Pengerusi Jaringan Perikanan Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara, Jasni Amat.
Menurutnya, warna air sungai juga semakin baik berbanding sebelum ini yang keruh dan berwarna putih susu.
Beliau berkata, pencemaran seumpama itu boleh dielak sekiranya terdapat pemantauan berkala oleh pihak berkuasa bukan sahaja aktiviti perlombongan tetapi juga operasi kilang-kilang berdekatan.
Dakwanya, terdapat kira-kira empat kilang di sepanjang persisir Sungai Johor dan pihak berkenaan perlu melakukan pemantauan dan pemeriksaan.
“Pencemaran bukan saja menjejaskan hidupan sungai, menjejaskan pendapatan nelayan malah ia mengakibatkan gangguan bekalan air serta menimbulkan pelbagai kesulitan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau mendakwa, punca pencemaran di Sungai Sayong yang merupakan ulu Sungai Johor disebabkan daripada aktiviti perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Sungai Sayong Pinang dijalankan sejak dua tahun lalu.
Menurut Jasni, status operasi perlombongan itu bagaimanapun menjadi tanda tanya sama ada memiliki kelulusan mahupun tidak.
Beliau berkata, kebiasaannya aktiviti berkenaan diadakan seawal pukul 3 pagi dan berakhir pada waktu petang serta menyaksikan kenderaan berat keluar masuk ke lokasi berkenaan.
Pihaknya pernah mengadu operasi perlombongan berkenaan kepada pihak berkaitan kerana bimbang boleh mencetuskan masalah tidak diingini.
Malah beliau pernah mengetengahkan isu pencemaran sungai dalam mesyuarat tindakan daerah sebelum ini.
“Selain aktiviti perlombongan, terdapat lebih dari tiga hingga empat kilang beroperasi di kawasan persisiran Sungai Johor, kami berharap operasinya juga dipantau daripada semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini, portal ini mendedahkan isu pencemaran di Sungai Johor yang dipercayai berlaku akibat aktiviti perlombongan pasir darat oleh sebuah syarikat tempatan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kolam cucian pasir keenam pecah akibat pergerakan tanah.
Pencemaran yang berlaku menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang ulu Sungai Johor.
Kira-kira 17,000 pengguna akaun SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ) di Kulai mengalami masalah bekalan air akibat pencemaran itu.
Pada November 2017, kerajaan negeri telahmengarahkan operasi ladang ayam dan kilang memproses najis haiwan itu yang menjadi punca pencemaran Sungai Sayong.
Pada April 2019, kerajaan negeri menutup sebuah kilang sawit yang mencemarkan Sungai Sayong dengan sisa ammonia.
Sementara September tahun lalu pula, ribuan ikan ditemui mati di Sungai Sayong berdekatan perkampungan itu dipercayai berpunca daripada air sungai yang tercemar.- MalaysiaGazette
















