Muhammad Azman dan keluarganya reda dengan pemergian anak bongsu mereka, Aidiel Zahrin, tiga tahun (gambar kecil) yang meninggal dunia selepas disahkan lemas dalam kolam renang sebuah rumah inap di Durian Tunggal, ketika menghadiri program himpunan keluarga malam Sabtu lalu.

MELAKA – “Saya reda dengan kejadian ini dan tidak menyalahkan sesiapa. Arwah pun seolah-olah tahu dia akan ‘pergi’ meninggalkan kami dengan riak wajah yang ceria malam sebelum kejadian.

“Malah, dua minggu lepas arwah juga menunjukkan tanda-tanda bersedia untuk ‘berpisah’ dengan ibunya di Jitra, Kedah untuk tinggal selama 10 hari dengan neneknya di Pahang, sedangkan tidak pernah begitu sebelum ini,” katanya.

Itu luahan tenang Muhammad Azman Tamsir, 37, yang kehilangan anak bongsunya, Aidiel Zahrin, tiga tahun, selepas lemas dalam kolam renang sebuah rumah inap ketika bercuti pada program himpunan keluarga, malam Sabtu lalu.

Menurut bapa kepada empat anak lelaki itu, pada malam kejadian kira-kira jam 9 malam, dia ada meminta Aidiel masuk ke dalam rumah dan sempat melihat wajah anak bongsunya itu yang kelihatan lebih berseri daripada kebiasaan.

“Saya tatap wajahnya, memang lain daripada kebiasaan. Senyumannya lebih berseri dan dia akur masuk ke dalam rumah sementara saya meneruskan aktiviti bakar kambing.

“Namun, tidak lama kemudian saya dikejutkan apabila Aidiel dijumpai terapung di kolam sekitar jam 10.50 malam. Saya segera berlari menyelamatkannya, namun segalanya sudah terlambat,” katanya tenang ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Muhammad Azman yang merupakan tenaga pengajar di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) berkata, dia dan isterinya, Nor Farizzah Nasuha Zamri, 36, tidak menyangka itu adalah kenangan terakhir bersama anak bongsunya itu.

Jelasnya, mereka berdua tinggal berjauhan sejak lapan tahun lalu apabila isterinya bertugas di Institut Kemahiran Belia Negara Jitra, Kedah dan tinggal bersama dua lagi arwah dan abangnya, Ariff Zayyan, 5.

Dua lagi anaknya, Muhammad Azrif, 10, dan Muhammad Zarif Syazwan, 9 tinggal bersamanya di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dan mereka akan berjumpa saling bertemu setiap dua minggu sekali.

“Dua minggu lalu, arwah pun ada tunjuk perubahan sikap apabila sanggup berpisah dengan ibu dan abangnya untuk tinggal bersama neneknya di Temerloh, Pahang, sedangkan sebelum ini tidak pernah begitu.

“Malah, pada hari pertama tiba di Melaka menaiki bas awal pagi Jumaat, arwah begitu bersungguh mahu beli bola walaupun sudah banyak, namun kami tetap menunaikan kemahuannya itu.

“Tidak sangka, itulah permintaannya yang terakhir,” katanya.

Muhammad Azman walaupun masih bersedih, reda dengan kejadian itu dan berterima kasih kepada pemilik rumah inap berkenaan yang tidak putus-putus meminta maaf walaupun tragedi itu bukanlah salah sesiapa.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada petugas sukarelawan perkhidmatan percuma Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ) Melaka yang banyak membantu menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan di Sungai Nibong, Selangor malam tadi,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kegembiraan perhimpunan tujuh buah keluarga terdiri daripada 35 ahli termasuk 20 kanak-kanak di rumah inap itu sejak Jumaat lalu bertukar pilu apabila mangsa ditemukan lemas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast