SEGAMAT – “Waktu itu saya tengah berdiri, tiba-tiba rumah bergegar. Saya tak tahu lagi ada gempa dan masing-masing mula bertanyakan gegaran itu.”
Itu pengakuan penduduk Kampung Tengah, Ahmad Asri Talib, 52, berkata, beliau merasai gegaran terbaharu itu selepas hampir dua bulan gempa bumi tidak berlaku sejak Ogos lalu.
“Gegaran berlaku sekitar dua saat dan selepas itu, kumpulan WhatsApp jiran dan saudara mara mula kecoh bertanyakan hal sama,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, gegaran kali ini lebih singkat berbanding kejadian sebelum ini namun cukup membuatkan penduduk bimbang kemungkinan akan berlaku lagi.
Penduduk Kampung Bukit Lintang, Nori Azman, 34, pula berkata, walaupun gempa berkenaan lemah, namun ia tetap menimbulkan rasa cemas penduduk.
“Kami tengah berehat tiba-tiba terasa gegaran. Sudah lebih dua bulan gegaran susulan tidak berlaku dan bila berlaku semula memang menakutkan. Kami berdoa agar dijauhkan dari bencana,” katanya.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan lain antaranya Kampung Pogoh Tengah, Taman Yayasan, Jalan Seberang Batu Badak, Kampung Gudang Garam, Gemereh.
Selain itu, gegaran juga dirasai Kampung Paya Dalam, Kampung Tasek, Kampung Gubah, Taman Berjaya Buloh Kasap, Kampung Pogoh dan Paya Pulai.
Sejak Ogos lalu, daerah Segamat dan kawasan sekitar merekodkan lebih lima gegaran, antaranya berukuran 4.1 magnitud (24Ogos), 3.2 magnitud (27 Ogos), 2.5 magnitud (28 Ogos), 3.4 magnitud (29 Ogos).
Sementara di Batu Pahat pula dengan kekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud dilaporkan berlaku pada 30 dan 31 Ogos lalu dan terakhir 2.9 magnitud pada 3 September lalu. – MalaysiaGazette
















