Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan skim kelayakan berperingkat BUDI95 khusus untuk pemandu e-hailing yang akan diaktifkan pada setiap pertengahan bulan tidak lama lagi.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), penetapan tahap peningkatan siling kelayakan bulanan BUDI95 akan bergantung kepada jarak perjalanan e-hailing yang direkodkan dalam sistem pengendali e-hailing (EHO) bagi bulan sebelumnya.

Penambahbaikan ini katanya, adalah hasil perbincangan antara MOF, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta syarikat pengendali e-hailing bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar lebih adil dan inklusif demi menjaga kebajikan pemandu e-hailing serta teksi lapangan terbang.

“Bagi tujuan pelaksanaan, jumlah jarak perjalanan setiap pemandu akan dikira berdasarkan rekod daripada semua EHO dan diselaras oleh APAD serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

“Sebagai contoh, sekiranya seorang pemandu seperti Encik Danial memandu sejauh 1,500 kilometer dengan satu EHO dan 600 kilometer dengan EHO lain, jumlah jarak keseluruhannya ialah 2,100 kilometer.

“Berdasarkan jumlah tersebut, beliau layak menerima tambahan kelayakan BUDI95 sebanyak 300 liter,” demikian menurut MOF.

Tambahnya, EHO juga diwajibkan mengemukakan rekod perjalanan bulanan yang tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan.

Kementerian tersebut menjelaskan, nilai ambang jarak perjalanan baharu ini ditentukan berdasarkan kajian oleh MoF terhadap data perjalanan e-hailing dan penggunaan sebenar BUDI95 bagi bulan September 2025.

“Antara perubahan utama ialah penurunan nilai ambang kelayakan asal daripada 3,000 kilometer kepada 2,000 kilometer, selain pengenalan peringkat baharu bagi pemandu yang melebihi 5,000 kilometer sebulan.

“Langkah ini mengambil kira pergerakan tanpa penumpang yang tidak direkodkan dalam aplikasi e-hailing, sekali gus memastikan jumlah kelayakan subsidi mencukupi untuk keperluan harian majoriti pemandu,” ujarnya.

Katanya, kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan skim ini akan terus dipantau agar mekanisme terbaik dapat dilaksanakan untuk semua pihak dalam jangka masa panjang.

Sementara itu MOF berkata, syarikat pengendali teksi lapangan terbang kini dibenarkan memohon fleet card di bawah Skim Kawalan Petrol dan Diesel (SKPS) kendalian KPDN.

Melalui skim ini katanya, teksi dan kereta sewa layak menerima sehingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.

“Bagaimanapun, limousin lapangan terbang yang tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak untuk memohon fleet card di bawah skim berkenaan,” jelasnya.

Kerajaan Madani menegaskan, komitmen untuk memastikan program subsidi bersasar ini dilaksanakan secara telus, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

MoF bersama agensi berkaitan akan terus menilai dan menambah baik pelaksanaan BUDI95 dari semasa ke semasa.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan tambahan BUDI95 akan diumumkan oleh APAD dan LPKP, manakala syarikat pengendali lapangan terbang boleh mengemukakan permohonan fleet card melalui portal rasmi https://mysubsidi.kpdn.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast