KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat isu berkaitan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard proses kewarganegaraan bagi tujuh pemain naturalisasi Malaysia.
Isu tersebut dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan siasatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
EAIC dalam kenyataan hari ini berkata, penubuhan pasukan tersebut adalah selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]
Katanya, Pasukan Petugas Khas itu akan diketuai oleh Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham (Timbalan Pengerusi EAIC) bersama ahli-ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail dan Datuk Ong Lam Kiat serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 yang diadakan pada hari ini, mesyuarat telah memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur yang berkaitan dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan,” katanya.
Tambahnya, EAIC memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan memandangkan isu ini melibatkan kepentingan awam dan integriti negara di peringkat antarabangsa. -MalaysiaGazette
















