KUALA LUMPUR – Gelombang baharu pelaburan dalam sektor nadir bumi (REE) semakin meningkatkan kebimbangan terhadap kerosakan alam sekitar.
Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, keghairahan kerajaan negeri dan pusat menarik pelaburan langsung asing (FDI) akan membuka ruang kepada perlombongan REE di pelbagai kawasan termasuk yang sensitif dan tidak sesuai.
Jelasnya, ia seperti kawasan tadahan air sama ada yang diwarta atau tidak diwarta, kawasan sensitif sosial Orang Asli, hutan simpan dan tanah tinggi.
Menurut beliau, walaupun REE dikatakan sumber strategik masa depan namun cara ia dilombong terutama melalui kaedah in-situ leaching yang menggunakan bahan kimia seperti ammonium sulfate boleh memberi kesan jangka panjang kepada kualiti air dan kesihatan penduduk.

“Akhirnya, apabila air tercemar dan sungai rosak, rakyat tempatan yang akan menanggung akibatnya bukan pelabur luar.
“Semua ini membawa kepada satu persoalan penting, apakah makna sebenar kedaulatan alam sekitar? Ia bukan sekadar isu ekologi, tetapi isu kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Hafizudin, apabila dasar pembangunan dan pelaburan tunduk kepada kehendak korporat atau pelabur luar maka negara sebenarnya menyerahkan kuasa menentukan masa depan bumi sendiri kepada pihak lain.
Sedangkan, ujarnya, kedaulatan sebenar tidak diukur melalui angka pelaburan atau pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) semata-mata tetapi melalui kemampuan negara mempertahankan sumber semula jadi dan keutuhan ekosistem daripada eksploitasi.
Sehubungan itu, jelasnya, Malaysia perlu menilai pelaburan bukan hanya dari sudut ekonomi tetapi juga dari kesan sosial dan ekologi.
Katanya, banyak pelanggaran terhadap garis panduan pembangunan negara seperti kelulusan di kawasan tidak sesuai dan kawasan terdedah bencana alam lain masih berlaku atas desakan “pelaburan asing”.
“Kita perlu menapis dan tegas dengan pelaburan yang masuk – yang menghormati dasar dan prinsip perlindungan alam sekitar negara, hak asasi manusia dan kesihatan rakyat.
“Dalam masa yang sama, suara komuniti tempatan, terutama masyarakat yang terkesan secara langsung, mesti diangkat sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette
















