JOHOR BAHRU – Malaysia wajar mencontohi negara lain semasa menandatangani Perjanjian Timbal Balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat yang tidak memperjudikan kedaulatan negara.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Ihsan Pasir Gudang, Zamrin Hamzah mempersoalkan sama ada Malaysia benar-benar mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) apabila perjanjian itu dilihat memihak kepada sebelah pihak.
“Contohi negara-negara lain semasa membuat perjanjian demi kedaulatan negara. Adakah benar kita ada hubungan baik dengan AS?
“Kawan baik takkan makan kawan? Kawan yang baik mesti menjaga kawan. Jika kita menjaga kepentingan dan kedaulatan negara apa juga halangan rintangan kerajaan kena hadapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, tindakan kerajaan menandatangani ART Malaysia-Amerika Syarikat bertentangan dengan Perlembagaan.
Jelas Dr Mahathir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya membawa perkara berkenaan ke Dewan Rakyat untuk mendapatkan undi dua pertiga.
Sementara itu, mengenai kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Sabtu lalu, Malaysia boleh berdepan tarif ekport ke AS sehingga 100 peratus jika menolak perjanjian tersebut, Hamzah berkata, itu merupakan satu ugutan.
“Jangan buat ugutan Malaysia di kenakan takrif 100 peratus oleh AS. Senat AS membatalkan tarif Presiden AS, Donald Trump kepada lebih 100 buah negara.
“Harap tarif 19 peratus itu di kaji semula bawah 5 peratus,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















