Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk.

IPOH – Pengiktirafan antarabangsa yang diraih projek Projek Membina Jambatan Bagan Datuk, Hilir Perak ke Kampung Sejagop, Perak Tengah baru-baru ini membuktikan kepakaran jurutera serta tenaga kerja tempatan setanding dengan negara maju.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan jambatan itu telah menyatukan komuniti dan menggerakkan ekonomi antara kedua-dua daerah berkenaan.

Malah katanya, reka bentuk jambatan tersebut juga amat menitikberatkan aspek keselamatan pengguna, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat setempat.

“Projek jambatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Pembinaan jambatan ini telah menghubungkan daerah Bagan Datuk dan Perak Tengah yang dahulunya mengambil masa lebih sejam perjalanan, kini dipendekkan kepada hanya tujuh minit,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook.

Pada Jumaat lalu media melaporkan, projek pembinaan Jambatan Bagan Datuk meraih tempat kedua bagi kategori Jalan untuk Komuniti pada Anugerah Projek Terbaik MINO sempena Persidangan Ke-17 Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA) di Goyang, Korea Selatan.

Dilaporkan, anugerah berprestij itu disampaikan pada majlis kemuncak persidangan REAAA yang diadakan dari 27 Oktober hingga 1 November bagi mengiktiraf projek infrastruktur jalan raya yang memberi impak besar kepada komuniti dari aspek teknikal, sosial dan ekonomi.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden REAAA Dr Sung-Hwan Kim kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada majlis penutup persidangan yang berlangsung di Korea International Exhibition Center (KINTEX). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast