JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, mendakwa tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak berasaskan undang-undang dan lebih ‘bermotifkan politik’.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang.
“Sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS (Court of Arbitration for Sport) sebuah badan bebas,” titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor hari ini.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam satu kenyataan malam tadi melaporkan, FIFA dalam menolak rayuan FAM berhubung dakwaan pemalsuan dokumen kelayakan tujuh pemain warisan.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan menulis kepada badan induk bola sepak dunia itu untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya, mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“FAM telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di mana rayuan kami telah ditolak,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook FAM.
Pada 26 September lalu, FAM bersama-sama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya menyatakan FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.
Selain itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FAM serta menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan selepas didakwa melakukan pemalsuan dokumen kelayakan.
Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.
Menurut Mohd Yusoff, ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini dan pihak peguam serta pengurusan FAM amat terkejut dengan keputusan tersebut.
Tambah beliau, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















