KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempersoalkan sama ada menjadi hala tuju Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mendakwa individu atas kesalahan rasuah sekiranya memulangkan semua duit rasuah.
Beliau merujuk kepada kes melibatkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang dituduh atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM9.9 juta.
Bagaimanapun, ujar beliau, Adam Radlan dibebaskan selepas membayar denda sebanyak RM4.1 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
“Beliau dibebaskan atas permohonan timbalan pendakwaraya kepada mahkamah.
“Soalannya, beliau dituduh melibatkan rasuah RM9.9 juta, selepas membayar denda RM4.1 juta, beliau masih simpan RM 5.8 juta.
“Begitu juga dengan seorang wakil rakyat dan pembantunya yang dituduh menyimpan beratus-ratus juta ringgit dalam satu rumah.
“Pihak Jabatan Peguam Negara nampaknya tidak menunjukkan tanda untuk mendakwa mereka ke mahkamah selepas mereka memulangkan kesemua duit kepada kerajaan.
“Apakah ini hala tuju Jabatan Peguam Negara (AGC), di mana AGC tidak akan mendakwa seseorang di bawah rasuah sekiranya dia memulangkan semua duit rasuah berkenaan?” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa sama, Teresa turut membandingkan kes melibatkan Ahli Parlimen Bagan yang juga Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang didakwa dan dibicarakan selama lima tahun.
Jelasnya, pihak pendakwaraya dalam kes itu tidak dapat menunjukkan apa-apa bukti bahawa Guan Eng menerima rasuah; tiada “money trail” dan tiada bukti terdapat wang dimasukkan ke dalam akaunnya.
“Adakah ini menunjukkan “double standard” bagi pihak AGC dan SPRM dalam pendakwaan rasuah. Bukankah ini tidak adil kepada Bagan,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Teresa itu menimbulkan rasa tidak puas hati ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan mengenai peraturan Dewan Rakyat bahawa perkara yang sedang dalam proses perbicaraan mahkamah tidak boleh dibangkitkan dalam perbahasan.
Perkara itu kemudiannya diakui Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau yang mengingatkan Teresa supaya tidak menyentuh apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah. – MalaysiaGazette















