Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggesa aktiviti pengagihan makanan kepada golongan berkeperluan dilaksanakan secara berjadual dan berpusat mengikut lokasi agihan.

Menurut DBKL, pendekatan ini dilakukan bagi memastikan bahan yang diagihkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan kebajikan dan sukarelawan dilaksanakan dengan teratur.

“Pelaksanaan secara berstruktur ini juga untuk memastikan agihan bantuan sampai kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan, tanpa menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan imej bandar raya,” katanya dalam kenyataan, pada hari ini.

Tambahnya lagi, DBKL sentiasa mengalu-alukan penglibatan dalam pelaksanaan aktiviti kebajikan, namun perlaksanaannya harus dilakukan di lokasi dan jadual yang telah ditetapkan.

Jelasnya, antara pusat yang beroperasi pada masa ini adalah Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara dan Anjung Singgah.

“Pusat-pusat ini turut menjadi lokasi pelaksanaan pelbagai bentuk intervensi sosial seperti pemberian pakaian, bimbingan pekerjaan, program kesedaran kendiri serta aktiviti pemulihan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, aktiviti ini selaras dengan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang menekankan pengagihan makanan secara teratur dan DBKL kini terus memperkukuh koordinasisi bersama NGO bagi menjalankan aktiviti lebih sistematik.

“Pendekatan bersepadu ini menggambarkan iltizam bersama semua pihak terlibat dalam memastikan kebajikan golongan berkeperluan turut dapat ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab dan kemanusiaan,” kata DBKL.

DBKL menegaskan komitmen untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya inklusif bukan sahaja dari kemudahan fizikal dan infrastruktur, tetapi juga melalui keprihatinan sosial. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast