KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Persekutuan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Muslim-Friendly Watch kerana didakwa mengeluarkan label produk tersendiri yang menyerupai pengiktirafan sijil halal.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan NGO berkenaan yang memperkenalkan label ‘Muslim Choice’ berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini, terutama apabila ia seakan-akan menyerupai logo halal rasmi yang dikeluarkan oleh Jakim.
Beliau berkata, pihaknya telah meneliti maklum balas Jakim berdasarkan kenyataan Ketua Pengarahnya bertarikh 2 November lalu.
“Meskipun pertemuan dua hala antara Jakim dan pihak NGO tersebut telah diadakan sejak tahun lalu, namun tiada tindakan susulan diambil, menyebabkan pelabelan ‘Muslim Choice’ itu terus membayangi logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad, langkah NGO tersebut meletakkan label ‘Muslim Choice’ tanpa piawaian halal yang jelas boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sepatutnya hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri sahaja yang berhak mengeluarkan logo halal di Malaysia. Kriteria penetapan halal oleh NGO ini tidak selaras dengan piawaian Halal Malaysia di bawah JAKIM,” tambahnya.
DUPP katanya, turut menegaskan bahawa piawaian Halal Malaysia melalui Jakim telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, malah prosedur pensijilannya juga diterima pakai oleh banyak negara.
“Bagaimana kerajaan boleh membiarkan badan lain membuat penilaian ‘halal’ dengan label ‘Muslim Choice’ yang hampir sama dengan Halal Malaysia?
“Kami bimbang kewujudan logo ini akan dinormalisasi dan akhirnya menjejaskan kredibiliti sistem pensijilan halal negara,” ujar beliau.
Sehubungan itu, DUPP berkata, Jakim perlu mengambil langkah lebih tegas dalam menangani isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga martabat piawaian halal Malaysia.
“Perkara sebegini tidak harus dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menurunkan taraf piawaian halal yang telah lama diusahakan oleh Jakim,” katanya. – MalaysiaGazette
















