Noorhayati Mohd. Ariffin yang juga isteri aktivis Amri Che Mat hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan kes saman terhadap kerajaan berhubung siasatan kehilangan suaminya. 5 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan Malaysia dan polis membayar ganti rugi berjumlah lebih RM3 juta kepada isteri seorang aktivis, Amri Che Mat kerana gagal bertanggungjawab menjalankan siasatan berhubung kehilangan suaminya.

Hakim Datuk Su Tiang Joo turut memerintahkan polis membuka semula siasatan terhadap kehilangan Amri bermula hari ini dan melaporkan perkembangannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Beliau memerintahkan ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta dan ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52 diberikan kepada Noorhayati Mohd. Ariffin.

Mahkamah turut memberikan kos RM250,000 kepada plaintif.

Noorhayati Mohd. Ariffin (empat dari kiri) yang juga isteri aktivis Amri Che Mat hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan kes saman terhadap kerajaan berhubung siasatan kehilangan suaminya. 5 NOVEMBER 2025

Hakim Tiang Joo memutuskan demikian selepas membenarkan saman isterinya setelah berpuas hati kes itu sepatutnya diklasifikasikan sebagai penculikan bukan orang hilang.

“Saya mendapati terdapat kekurangan usaha untuk memastikan keluarga Amri dikemas kini mengenai perkembangan kes kehilangan suaminya,” ujar hakim berkenaan.

Noorhayati memfailkan saman terhadap kerajaan, polis dan empat yang lain pada 18 November 2019 dan menuntut ganti rugi teruk dan teladan atas kerugian yang dialaminya akibat kehilangan Amri pada tahun 2016 .

Dia pada mulanya memfailkan saman terhadap 21 defendan.

Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016 sewaktu sedang memandu di Jalan Padang Behor ketika dalam perjalanan melawat rakannya manakala kenderaan yang dipandu dijumpai di tapak pembinaan terbiar di Bukit Chabang keesokan hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast