KUALA LUMPUR – Anakonda apabila menghadapi masalah ketiadaan makanan yang mencukupi maka kawannya ular lidi yang berada di sebelah boleh menjadi makanan gantian.
Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membuat perbandingan persahabatan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berkata, kedudukan negara laksana ular lidi yang kecil bersahabat dengan anakonda yang besar, ganas dan pelahap nafsunya hanya akan mendapat serangga kecilsebagai makanan di sisi kawannya itu.
“Kalau anakonda tidak ada makanannya, nescaya kita ditelannya,” katanya yang juga Presiden Pas menerusi hantaran di Laman Facebook, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, AS yang berperang ekonomi dengan China menggunakan Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam menghadapi musuhnya sehingga boleh mencetuskan perang ketenteraan.
Tambah beliau, ular lidi juga memilih anakonda menjadi kawan tempat berlindung kerana melihat badannya yang besar dan gagah, tanpa mengira nafsunya yang rakus dan ketiadaan akal.
Bagaimanapun, tambah beliau, lebih malang apabila ular lidi tidak dapat memandang dirinya sendiri lalu merasakan dirinya sama besar dengan anakonda, namun ia tidak mampu menangkap babi hutan yang besar dan apabila binatang kecil melarikan diri dari anakonda, maka ular lidi terpaksa mengejarnya dengan payah.
Abdul Hadi berkata, kini Malaysia memilih menjadi proksi AS yang dilihat sangat kuat pada zahirnya namun tindakan gopoh pemimpin yang sangat lemah ini boleh dipergunakan oleh kuasa besar yang jauh kedudukannya dari negara kita.
Beliau berkata, pelaburan-pelaburan yang berskala besar menjadi sasaran AS yang berkuasa besar dan bermodal paling besar sedangkan Malaysia masih berada pada tahap negara sedang membangun yang sukar mengejar status sebuah negara maju yang berkonsepkan kapitalisme yang berlumba-lumba mengejar kepentingannya sahaja yang bersifat penjajahan, tanpa mengira rakan sendiri yang sama besar, apatah lagi rakan yang kecil.
Tambah beliau, sejak beberapa abad, negara-negara kecil yang dijajah terus menjadi medan operasi ekonomi negara besar, bukan sekadar medan perang. – MalaysiaGazette















