MELAKA – Rohana Abdullah yang ditawarkan pengajian Diploma Sains Komputer bersama dengan Biasiswa Anak Emas Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kini bergelar graduan sewaktu Majlis Konvokesyen UTeM ke 21, semalam.
Kisah Rohana pernah tular hampir empat tahun lalu di mana beliau dijaga ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan dan menerusi episod kesukaran untuk mendapatkan taraf kerakyatan kerana ditinggalkan sejak kecil.
Ia mengundang reaksi banyak pihak selain ramai yang memuji sikap murni ibu angkatnya Chee Hoi Lan yang berusaha mengekalkan Rohana dengan agama asal sehingga hari ini.
Gadis yang pernah bekerja sebagai pengajar di salah pusat tuisyen itu turut mendapat perhatian mantan Perdana Menteri yang menghubunginya untuk membantu sehinggalah mendapat taraf kewarganegaraan menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan selepas itu.
Seterusnya dengan keprihatinan UTeM di bawah kepimpinan Massila maka beliau ditawarkan tempat pengajian berserta sebagai penerima Biasiswa Anak Emas pertama UTeM dengan menikmati pembiayaan penuh pengajian diplomanya bersama dengan bantuan wang saku.
Mengulas tentang pencapaian sulung program Anak Emas UTeM ini, Massila berkata, apa yang telah dirintis dan dilaksanakan tiga tahun lalu menerusi program Anak Emas UTeM Yayasan Tun Canselor yang menawarkan biasiswa kepada golongan pelajar cemerlang dari golongan kurang berkemampuan telah mula membuahkan hasil.
Jelasnya, program yang dikenali Biasiswa Anak Emas UTeM disalurkan melalui pembiayaan Yayasan Tun Canselor UTeM yang menaja kos pengajian secara penuh bagi meringankan beban pelajar dan memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran di UTeM dengan lebih fokus dan mencapai kecemerlangan yang diimpikan.
Sementara itu, Rohana ketika ditemubual menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana diberi peluang keemasan daripada UTeM menerusi program Anak Emas UTeM sehinggalah beliau berjaya menamatkan pengajian diplomanya dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88.
“Saya ingin menyampaikan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada UTeM, terutamanya kepada Tun Canselor dan Naib Canselor atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya melalui program ini.
“Terima kasih juga kepada semua pensyarah, pegawai, staf dan pihak universiti yang komited menguruskan hal ehwal saya sepanjang tempoh pengajian bermula dari tahun 2022 hingga 2025.
“Program Anak Emas adalah satu inisiatif hebat yang ditonjolkan UTeM kerana ia benar-benar membantu dalam meringankan beban kepada mereka yang cemerlang dalam akademik tetapi berdepan dengan kekangan kewangan yang serius ekoran ketidakmampuan keluarga.
“Program ini terbukti berkesan bersama pakej tambahan bantuan suntikan semangat dan motivasi buat pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan akademik dan perkara holistik kemenjadian mahasiswa,” kata beliau yang kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) dengan kepujian di UTeM.
Beliau merupakan antara 3,278 graduan UTeM yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula dari 1 hingga 3 November membabitkan enam sesi itu.
Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Ab Rauf Yusoh. – MalaysiaGazette















