KUALA LUMPUR – Tokoh akademik dan sejarawan media, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican menawarkan penajaan dermasiswa penyelidikan berjumlah RM5,000 setiap seorang kepada lima pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang menjalankan Kajian Dalam Persuratkhabaran, Media Dan Kewartawanan Alam Melayu.
Biasiswa ini bertujuan untuk merancakkan penyelidikan dan pemuliharaan lanskap ilmu mengenai kewartawanan dan surat khabar dunia Melayu, sekali gus memperkukuh kefahaman tentang peranan media dalam membentuk pemikiran moden masyarakat serantau.
“Matlamat utama biasiswa ini adalah untuk menggalakkan kajian mendalam terhadap sejarah dan peranan media Melayu sebagai sebuah instrumen yang pernah membentuk pemikiran, budaya dan identiti bangsa,” katanya.
Biasiswa berkenaan dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan peribadi Dr. Ahmad Murad sendiri, sebagai manifestasi komitmen beliau terhadap usaha memartabatkan ilmu dan memulihara warisan media bangsa.
Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah strategik untuk menggalakkan penyelidikan yang bersifat kritikal dan konseptual, dalam memahami peranan media Melayu sejak era penjajahan hingga ke zaman kontemporari.
Pelaksanaan biasiswa ini disokong sepenuhnya oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui kerjasama strategik yang merangkumi aspek pentadbiran, proses penilaian permohonan dan pemilihan calon yang layak.
Dr. Ahmad Murad turut merakamkan penghargaan kepada pihak fakulti atas komitmen yang diberikan dalam memastikan kelangsungan program ini secara telus, cekap dan berkesan.
Beliau turut menyeru agar para penyelidik memanfaatkan peluang ini sepenuhnya bukan sekadar sebagai kelebihan akademik, tetapi sebagai amanah intelektual kepada bangsa dan negara.
“Semoga para penerima biasiswa ini akan muncul sebagai tokoh masa depan dalam bidang kewartawanan dan sejarah media Melayu, serta menjadi penyumbang aktif kepada pemikiran kritis dan wacana ilmiah negara,” katanya.
Dr. Ahmad Murad Merican ialah alumni Fakulti (sebelum ini dikenali sebagai Kajian Sebaran Am), serta mantan pensyarah UiTM.
Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan pada awal tahun 1980-an dan kini merupakan Profesor di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam.
Sepanjang kerjaya akademiknya, beliau telah menghasilkan 26 buah buku yang meneliti sejarah sosial dan intelektual, serta bidang kewartawanan dan media.
Beliau juga aktif sebagai kolumnis dan penulis esei bagi surat khabar tempatan dan antarabangsa. – MalaysiaGazette















