KUALA LUMPUR – Dua nelayan dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki terbalik akibat laut bergelora dan angin kencang kira-kira tiga batu nautika barat laut perairan Tanjung Payung, Bintulu, Sarawak petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada nakhoda kapal tunda, TB. Swee yang telah menyelamatkan empat mangsa di lokasi kejadian.
Maklumat tersebut disalurkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching pada jam 6.15 petang sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan dengan menggerakkan bot buah ronda Maritim Malaysia ke lokasi kejadian.
“Empat mangsa yang diselamatkan kini dalam pelayaran ke Pelabuhan Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Salah seorang mangsa mengalami kecederaan di tangan dan dagu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Muhammad Suffian Eldine, salah seorang mangsa terselamat, Nasri Harun memaklumkan bot nelayan kelas C yang mereka naiki karam disebabkan keadaan laut bergelora manakala dua lagi rakan mereka masih belum ditemui.
Berikutan itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim supaya tidak ke laut ketika cuaca buruk dan sentiasa mematuhi peraturan keselamatan.
Orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Bintulu (086-314 254) dan Sarawak (082-432 544) untuk melaporkan kecemasan di laut. – MalaysiaGazette















