Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.

Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.

Menurutnya, bagi ekonomi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pengeluaran komoditi yang kembali pulih.

Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan menjelang tahun 2026.

Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

Pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global.

Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang giat.

Sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4% dan 1.9%.

Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun 2026 berikutan keadaan kos global yang terus reda.

Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal.

Sementara itu, inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang telah dilaksanakan terhadap inflasi pada tahun 2026 dijangka terhad.

Penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global.

Walaupun kesan tarif yang lebih tinggi akan terus mempengaruhi pertumbuhan global, prospek pertumbuhan akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan, inflasi yang semakin menurun, dasar monetari yang kurang ketat dan dasar fiskal yang memberikan sokongan.

Penyelesaian lebih banyak rundingan perdagangan telah sedikit sebanyak meredakan ketidakpastian global.

Pertumbuhan kekal berisiko menjadi perlahan disebabkan oleh kemungkinan tarif yang lebih tinggi, terutamanya tarif yang khusus bagi produk, serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.

Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai penilaian dalam pasaran kewangan yang kekal tinggi.

Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.

BNM berkata, mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2026.

Selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali pada tahun 2026 dan pernyataan Dasar Monetari akan diumumkan pada jam 3 petang selepas setiap mesyuarat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast