KUANTAN – Seorang penganggur mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah dengan menikam seorang pekebun pada 31 Oktober lalu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, Jabalul Akhir Mat Shafie, 25 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Pemuda itu dituduh melakukan kesalahan tersebut dilakukan di Jalan Bakti Kampung Sri Damai Batu 7 Jalan Gambang, di sini, pada jam 6.40 petang, 31 Oktober lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Jabalul Akhir didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa dengan menggunakan senjata untuk menikam bahagian perut sehingga mengalami kecederaan parah yang mungkin menyebabkan kematian.
Timbalan Pendakwaraya, Azizah Ahmad mencadangkan mahkamah tidak mengenakan jaminan kerana tertuduh tinggal berhampiran dengan kediaman mangsa selain mengenali mangsa.
”Mangsa masih dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan Hospital tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 November ini untuk sebutan semula kes dan jatuh hukum. – MalaysiaGazette
















