BANGKOK – Pengarah Miss Universe Thailand 2025, Nawat Itsaragrisil, memohon maaf secara terbuka selepas mencetus kontroversi apabila menghina peserta Miss Universe Mexico, Fátima Bosch, dalam pertandingan itu baru-baru ini.
Nawat dikatakan menegur Bosch secara terbuka kerana tidak menghadiri sesi penggambaran media seperti dijadualkan.
Rakaman video yang tular menunjukkan Nawat menyoal peserta itu di hadapan khalayak dengan menggunakan perkataan ‘dummy’ atau ‘dumb head’.
Bosch kemudian mempertahankan dirinya dan menegaskan bahawa beliau bukan boneka yang boleh diperlakukan sesuka hati.
Tindakan itu menerima tepukan dan sokongan daripada beberapa peserta lain termasuk Miss Universe 2024, Victoria Kjær Theilvig, yang dilaporkan meninggalkan acara itu sebagai tanda solidariti.
Nawat kemudian membuat permohonan maaf pada majlis pembukaan rasmi Miss Universe 2025, dengan menyatakan beliau tidak berniat menghina sesiapa.
“Saya sangat menyesal atas kejadian itu. Saya tidak berniat untuk menyakiti sesiapa, saya menghormati kamu semua,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkataan yang digunakan telah disalah tafsir dan mendakwa beliau sebenarnya menyebut ‘damage’ bukan ‘dummy’.
Namun, penjelasan itu menimbulkan reaksi bercampur dalam kalangan peminat dan peserta.
Sementara itu, Organisasi Miss Universe (MUO) mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan Nawat, menyifatkannya sebagai menghina, tidak sopan dan tidak menghormati peserta.
MUO turut memaklumkan bahawa penglibatan Nawat dalam acara rasmi pertandingan tahun ini akan dihentikan serta-merta. – Malaysiagazette















