Tangkap layar wanita 'Inspektor Sheila' rakam dan pertikai tugasan anggota polis menahan lelaki warga Pakistan menunggang motosikal tanpa lesen.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden seorang wanita didakwa mempertikaikan tindakan anggotanya menahan penunggang motosikal warga Pakistan yang tiada lesen pada Selasa lalu, seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, wanita terbabit dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ dan kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam di hadapan sebuah restoran di Jalan Ipoh, di sini.

“Dalam kejadian itu, anggota polis yang bertugas telah menahan lelaki warga Pakistan berusia 34 tahun yang bekerja di kedai pakaian itu kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

“Kemudian wanita terbabit didakwa telah datang menyerang dari arah belakang sambil menuduh anggota polis menguggut lelaki warga asing itu.

“Wanita itu juga menuduh anggota bertugas tidak mengetahui undang-undang serta memperlekehkan tugasan pihak polis dalam kejadian itu dengan merakam perbuatan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, katanya, anggota bertugas yang terpalit dengan dakwaan itu juga telah membuat laporan polis pada hari sama.

“Kita masih menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan.

“Semakan lanjut mendapati, wanita terbabit iaitu Sheila Sharon merupakan pegawai polis telah ditahan kerja pada 23 Jun 2023,” jelasnya.

Fadil menambah, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Dalam pada itu, tular rakaman video wanita terbabit membuat siaran lansung di aplikasi Tik Tok bersama lelaki Pakistan itu dan mendakwa dia masih mengaku sebagai anggota polis di Bukit Aman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast