KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat telah didakwa di Mahkamah Sesyen 3 di sini pada 27 Oktober 2025 atas 10 pertuduhan di bawah Seksyen 218(1)(a) dan Seksyen 221(1) Akta Syarikat 2016.
Nor Atiqah Mohamad Alwi dituduh dengan sembilan pertuduhan di bawah Seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 kerana menggunakan harta syarikat A2 Wax Sdn Bhd dengan meluluskan pembayaran kepada suaminya, Muhamad Fakrullah Abd Rahim tanpa persetujuan atau ratifikasi mesyuarat agung syarikat antara tahun 2021 hingga 2022.
Tertuduh juga dituduh di bawah Seksyen 221 (1) Akta Syarikat 2016 kerana gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat A2 Wax Sdn Bhd berhubung kontrak Appointment of Freelance Contractor antara A2 Wax Sdn. Bhd. dan suaminya yang dilantik sebagai kontraktor bebas.
Nor Atiqah mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Hakim Muhd Zul Zakiqudin Zulkifli telah menetapkan 27 November 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz, manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Hazman Harun.
SSM mengambil tindakan perundangan ini sebagai satu peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawal selia oleh SSM.
Usaha ini bagi memastikan tadbir urus korporat serta pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia. – MalaysiaGazette
















