Trak Polis yang membawa kakitangan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd tiba bagi pertuduhan baharu di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 NOVEMBER 2025

KAJANG – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 21 kepimpinan tertinggi kumpulan perniagaan itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas pertuduhan pilihan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman lebih rendah iaitu penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Kesemuanya yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, ditawarkan pertuduhan pilihan selepas representasi mereka diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Selain Nasiruddin, 66, seramai 21 ahli kumpulan itu termasuk isterinya Azura Md Yusof, 58, dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar pada prosiding yang dijalankan di Kompleks Penjara Kajang di sini.

Mereka turut mengaku fakta kes yang dikemukakan di mahkamah. Hakim sedang mendengar rayuan untuk mengurangkan hukuman daripada pasukan peguam bela.

Mereka yang mengaku bersalah termasuk lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.

Sementara itu, 11 tertuduh lelaki ialah Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Pada prosiding 30 Oktober lalu, AGC memaklumkan pihaknya telah menerima representasi 22 kepimpinan tertinggi GISBH dan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.

Mengikut pertuduhan asal, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini antara Oktober 2020 dan 11 September 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast