BUTTERWORTH – Seorang lelaki parah selepas ditikam dalam satu pergaduhan di sebuah medan selera di Taman Desa Murni, Sungai Dua di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 35 tahun dipercayai ditikam pada bahagian kiri dadanya menggunakan pisau.
Mangsa dilaporkan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan sebelum pihak hospital memaklumkan kejadian kepada polis.
Difahamkan, mangsa dirawat di zon merah hospital berkenaan dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Setakat ini, tiada kenyataan media dikeluarkan pihak polis berhubung kes berkenaan. – MalaysiaGazette















