KUALA LUMPUR – Seorang penganggur ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi di kawasan stesen minyak Batu 3, Jalan Apas, di Tawau, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau ketika operasi dijalankan di kawasan berkenaan.
Suspek yang berusia 46 tahun kemudian menyerahkan sendiri satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.33 gram.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jasmin menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, sama ada sebagai pengguna mahupun pengedar.
Malah, Polis Diraja Malaysia akan terus memperhebatkan risikan dan operasi berterusan bagi memastikan Tawau bebas daripada ancaman dadah.
“Saya juga menasihatkan masyarakat agar menjauhi najis dadah yang boleh menghancurkan masa depan diri, keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah melalui talian Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di 089-772121 atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu usaha membanteras jenayah itu. – MalaysiaGazette
















