Mohamad Hasan

PUTATAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengesahkan bahawa tiada pertembungan kerusi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, walaupun masih terdapat perbincangan dalam BN sendiri berkenaan kerusi yang akan ditandingi, pertembungan pasti tidak akan berlaku antara dua parti yang menganggotai Kerajaan Madani itu.

“Jentera BN pula perlu bergerak terus sampai pengundian 29 Nov bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Contoh, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov serta tarikh pengundian awal 25 Nov.

Sementara itu, Mohamad mencadangkan supaya Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed dipilih sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada PRN Sabah.

Mohamad berkata, dengan kesetiaan Jeffrey Nor dalam parti serta usahanya membina semula kekuatan UMNO di bahagian Putatan, beliau wajar diberi peluang menjadi calon.

“Kita menyokong Jeffrey Nor sebagai calon DUN Tanjung Keramat berikutan sokongan yang kuat daripada penduduk setempat, namun kita tunggu siapa yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast