JOHOR BAHRU – Muslim Friendly Watch (MFW) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang masih mengganggu, menghina, mengugut, menyebar maklumat palsu atau melakukan pencerobohan privasi terhadap mana-mana pemimpin atau ahli-ahlinya.

MFW melantik Tetuan Raudah Rais & Associates mewakili mereka untuk mengambil tindakan ke mahkamah sekiranya masih ada pihak yang berterusan melakukan perbuatan tersebut.

Syarikat guaman tersebut dalam satu kenyataan memberitahu, langkah tersebut diambil kerana perbuatan tersebut masih berterusan walaupun MWF sudah dibubarkan, menghentikan semua operasi serta-merta dan memohon maaf.

Menurutnya, langkah tersebut diambil sebagai tanggungjawab MFW dan kenyataan tersebut sudah disiarkan media antaranya dalam Malaysia Gazette dan Sinar Harian pada 3 November lalu.

“Penegasan terhadap gangguan dan penyebaran tidak wajar walaupun anak guam kami telah mengambil langkah-langkah bertanggungjawab seperti dinyatakan di atas.

“Kami menegaskan tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri dengan melakukan sebarang bentuk gangguan, penghinaan, ugutan, penyebaran maklumat palsu, atau pencerobohan privasi terhadap mana-mana ahli yang terkait secara langsung ataupun tidak langsung di bawah MFW sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut agar semua pihak menghentikan secara serta-merta sebarang perkongsian, penerbitan, atau penyebaran maklumat berkaitan MFW.

Ini termasuk mengganggu mana-mana ahlinya dalam mana-mana platform media sosial atau aplikasi komunikasi selain memadamkan semua hantaran, gambar, komen atau rakaman yang telah dimuat naik sebelum ini.

Selain itu,  tidak lagi mengulangi atau meneruskan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh mencemar nama baik serta reputasi anak guamnya dan ahlinya.

“Kami ingin menegaskan sebarang tindakan berbentuk fitnah, penghinaan, ugutan, penyebaran maklumat palsu, atau pencerobohan privasi terhadap anak guam kami yangmenyentuh peribadi boleh disabitkan sebagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang,” tegasnya.

Kelmarin MWF mengumumkan pembubaran dan menghentikan semua operasinya serta merta serta tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul melibatkan sistem Muslim Choice.

Bagaimanapun, isu tersebut terus tular dalam media sosial dan ada pihak yang menceroboh akaun peribadi ahli MWF dan membuat ugutan, penghinaan serta menyebarkan maklumat palsu.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, penggunaan istilah Muslim Choice atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf pihak berkuasa.

Jelas Sirajuddin, istilah diperkenalkan MFW itu antara lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.

Katanya lagi, tujuan MFW membuat penarafan itu didakwa untuk memberi keyakinan kepada pengguna Muslim mengenai produk atau premis yang diiktiraf pertubuhan berkenaan sebagai berkualiti, bersih, selamat serta selari prinsip Islam.

Justeru, beliau menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada Jakim atau Majlis Agama Islam negeri (MAIN), mahupun Jabatan Agama Islam negeri (JAIN).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast