KUALA LUMPUR – Tahap Emas merupakan pencapaian tertinggi dalam program Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang bukan sekadar memberi pengiktirafan terhadap prestasi individu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia juga merupakan gerbang kepada pembangunan kepimpinan dan keterlibatan belia di peringkat antarabangsa.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap agar semua penerima anugerah serta Badan Operasi ARPRM terus komited dalam memperkukuh pelaksanaan inisiatif 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang seiring dengan pembangunan ARPRM.
“Usaha berterusan ini diharapkan dapat memastikan program dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat selain menggalakkan penyertaan belia daripada pelbagai latar belakang bagi memperkasa potensi dan perpaduan generasi muda negara,” katanya pada Majlis Pentauliahan Emas ARPRM di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hasan dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin bersama barisan kepimpinan kementerian serta wakil agensi pelaksana program ARPRM.
Sementara itu, pentauliahan telah diberikan kepada 76 penerima tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan penerima Tahap Emas kini melebihi 1,886 orang sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2000.

ARPRM yang diadaptasi daripada The Duke of Edinburgh’s International Award merupakan inisiatif strategik utama KBS yang bertujuan memperkukuh peranan Rakan Muda dalam membentuk belia berusia 14 hingga 24 tahun agar memiliki daya kepimpinan, karakter utuh, dan semangat kesukarelawanan.
Majlis turut menghargai sumbangan semua pihak termasuk Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS Negeri), Kementerian Pendidikan Malaysia, agensi kerajaan, badan pertubuhan dan organisasi serta sekolah.
Selain itu, ia turut diadakan bagi mencetus inspirasi kepada belia-belia lain termasuk penerima Tahap Gangsa dan Perak dan membuka ruang penyertaan belia ke peringkat lebih tinggi dalam kepimpinan dan kesukarelawanan serta engukuhkan sinergi antara semua pemegang taruh dalam menyokong pembangunan belia negara. – MalaysiaGazette
















