KUALA LUMPUR – Datuk Ewon Benedick mengumum meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini.
Menurutnya, tindakan itu susulan tidak bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus hasil Persekutuan dari Sabah.
Sebaliknya, katanya, AGC sepatutnya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut.
Jelas Ewon, beliau berpegang kepada prinsip sepertimana dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perjuangan Parti UPKO juga berdasarkan kepada dokumen-dokumen asas perlembagaan iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.
Oleh itu, katanya, penghormatan kepada sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang diterjemah melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan ini seharusnya menjadi asas kepada halatuju dan masa depan Persekutuan Malaysia.
Ini termasuk penghormatan, pengiktirafan dan polkamania hak 40 peratus Sabah sepertimana dalam Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Saya telah meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Celestina Stuel Galid ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.
“Pendirian dan pandangan yang dinyatakan oleh AGC sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Ewon menegaskan beliau tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC, apatah lagi jabatan itu merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka. Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO.
“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah tersebut dilaksanakan. Itu adalah prinsip dan sebab saya menyertai politik,” jelas Ewon.
Tambahnya, beliau juga tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tersebut dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
” Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada perdana menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan. Namun berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di Mahkamah sepertimana dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu,” katanya.
Ewon berkata, beliau akan mengutus surat kepada perdana Menteri untuk memaklumkan perletakan jawatannya dan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang telah menjadi ruangnya untuk perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah.
Beliau turut memaklumkan akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin minggu depan untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas hala tuju parti itu. – MalaysiaGazette
















