Foto: JBPM

KUCHING – Seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Tutoh, Baram di Miri pada Rabu lepas ditemukan meninggal dunia pagi tadi dalam keadaan mayat tidak sempurna.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Prashant, 21, dan kru sebuah kapal yang berlabuh di kawasan hilir Kampung Kuala Tutoh ditemukan pada 9.30 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir dia dikhuatiri lemas.

“Ketika pasukan pencarian menemukan mangsa, seekor buaya dilihat sedang menggigit tangan kiri mangsa. Keseluruhan tangan kiri mangsa hilang disyaki dibaham buaya itu.

“Punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan, sama ada berkaitan dengan serangan buaya atau sebaliknya. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat,” katanya hari ini.

Operasi SAR yang berlangsung selama dua hari dan tamat pada 11 pagi tadi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, menggunakan satu jentera Triton dan sebuah bot aluminium.

Turut serta dalam operasi itu adalah Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pada Rabu lepas, media melaporkan pihak JPBM Sarawak menerima makluman berhubung kehilangan mangsa daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi selepas mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai berkenaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast