Pelajar dan guru pengiring dari SMK Badin bergambar kenangan bersama penyelidik dan pensyarah Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains, UMS.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berimpak sosial melalui pelaksanaan Program Living Lab @ Pantai Dalit sebagai satu inisiatif pemindahan ilmu yang berfungsi sebagai platform
memperkasa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan pendekatan pembelajaran lapangan dan kolaborasi komuniti.

Program tersebut berjaya menarik penyertaan pelajar sekolah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran, melalui aktiviti UMS@School yang memberikan pengalaman pembelajaran interaktif menggabungkan teori dan aplikasi dunia sebenar di bawah bimbingan penyelidik serta tenaga akademik UMS.

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau, pelaksanaan Living Lab @ Pantai Dalit membuktikan komitmen UMS untuk menjadikan ilmu dan inovasi sebagai asas kepada pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat.

Pendekatan Living Lab ini bukan sekadar menghubungkan universiti dengan komuniti, tetapi menjadi jambatan ilmu yang menginspirasi generasi muda untuk terus meneroka potensi dalam bidang STEM.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah pameran bioteknologi dan instrumentasi sains, pameran robotik, serta sesi motivasi pelajar, yang direka bagi menyemai minat terhadap bidang STEM dan membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar.

“Pendedahan ini bukan sahaja membantu pelajar memahami potensi kerjaya dalam bidang sains dan teknologi, malah menggalakkan pemikiran kreatif serta penyelesaian masalah secara inovatif,” katanya.

Tambah Jualang, program itu dilaksanakan hasil inisiatif dan idea daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Pelaksanaan program turut mendapat kerjasama pelbagai universiti termasuk Institut Penyelidikan Bioteknologi (Biotech UMS), Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, U-Science UMS, serta Pusat Instrumentasi dan
Perkhidmatan Sains,” tambahnya.

Terdahulu, UMS melalui IPB, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan serta Pusat U-Science UMS telah menganjurkan aktiviti pemindahan ilmu di SMK Badin, Tuaran, melibatkan kira-kira 200 pelajar tingkatan empat dan calon SPM.

Program tersebut disusuli dengan lawatan pelajar ke kampus UMS bagi menyertai siri aktiviti STEM yang dikendalikan oleh pasukan penyelidik dan tenaga akademik universiti.

Living Lab @ Pantai Dalit menjadi manifestasi komitmen UMS dalam mendukung aspirasi nasional untuk memperkasa budaya inovasi dan sains di peringkat akar umbi.

Inisiatif ini bukan sekadar aktiviti pendidikan, tetapi lambang kesepaduan antara pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat dalam membina ekosistem pembelajaran lestari untuk masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast