Anwar Ibrahim semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan, di Juru, Pulau Pinang. 8 November 2025. Foto dari Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mention

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan Malaysia sebagai negara dagang terus diperkukuh dengan memperluas jaringan perdagangan ke seluruh dunia tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar.

Beliau berkata, Malaysia kekal bebas dan berdaulat dalam menentukan hala tuju hubungan antarabangsa termasuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 walaupun terdapat tekanan daripada sesetengah pihak.

“Kita jemput juga Brazil yang tidak disenangi oleh Amerika Syarikat (AS) dan saya jemput juga (Presiden) Ramaphosa dari Afrika Selatan yang mempengerusikan G20.

“Presiden Donald Trump umumkan melarang semua wakil AS hadir ke G20 tapi saya akan hadir G20 kerana Malaysia negara merdeka, berdaulat dan bebas.

“Kalau kita tunduk kepada arahan AS, kita tidak akan pergi (Sidang Kemuncak G20),” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia sebagai negara dagang perlu mengukuhkan hubungan dengan pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, China, Brazil dan Afrika Selatan bagi mempelbagaikan rantaian pelaburan dan perdagangan.

“Peranan kita buka jaringan kuat dengan AS, kuat dengan China saja tak cukup. Kita buka jaringan dengan pelbagai negara menjadikan Malaysia ini negara dagang yang meyakinkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, setiap keputusan perdagangan dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat termasuk peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di peringkat negeri serta nasional.

“Kalau saya hanya nak jadi hero maki hamun AS, yang akan sengsara itu rakyat yang bekerja dalam rantaian bekalan. Sebelum saya buat kenyataan, saya kena fikir semua itu.

“Pendekatan seimbang itu penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang stabil dan diyakini dunia,” katanya.

Media pada 31 Oktober lalu melaporkan Perdana Menteri sekali lagi membidas dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan kedaulatan kepada AS susulan meratifikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Anwar menyifatkan kritikan itu tidak berasas, satu pembohongan dan bersifat politik semata-mata selain menegaskan perjanjian tersebut dimeterai atas kepentingan pelaburan dan perdagangan negara bukan kerana tunduk kepada mana-mana kuasa besar.

“Kalau betul kita hanya bagi monopoli sepenuhnya kepada AS, bagaimana boleh kita tandatangani FTA (perjanjian perdagangan bebas) dengan negara China? Dan bagaimana hari ini kita boleh bincang dengan JS Link, dengan Lynas, isu nadir bumi oleh syarikat Korea Selatan?

“ART mengandungi klausa keselamatan dan kepentingan nasional yang membolehkan Malaysia membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan kepentingan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast