Logo Meta yang mengendalikan FB, Instagram.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka akan memanggil syarikat gergasi media sosial, Meta dalam masa terdekat.

Ia bagi syarikat itu memberikan penjelasan rasmi berhubung laporan agensi berita antarabangsa Reuters yang mendakwa mereka meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan, perjudian dalam talian dan aktiviti haram.

MCMC berkata, pihaknya memandang serius pendedahan tersebut dan berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“MCMC akan memulakan siasatan terhadap perkara ini. Sekiranya terbukti benar, ia dianggap pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam dan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut suruhanjaya itu, sebelum laporan tersebut diterbitkan, MCMC telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa platform media sosial utama termasuk Meta, bagi membincangkan isu berkaitan iklan penipuan dan perjudian dalam talian.

MCMC turut menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah permintaan penurunan kandungan yang amat tinggi perlu dikemukakan kepada Meta berbanding platform lain.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November tahun ini, MCMC telah mengemukakan 157,208 permintaan kepada Meta untuk menurunkan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dalam talian serta 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding platform lain platform lain seperti TikTok (3,956), Telegram (269), X atau Twitter (11) dan YouTube (45,448).

MCMC sebelum ini telah menasihati Meta agar mengambil pendekatan lebih proaktif dalam membanteras aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian, memandangkan langkah sedia ada dilihat belum mencukupi dan terus memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah serta bertanggungjawab membuktikan keberkesanan sistem kawalan mereka bagi mencegah aktiviti haram.

“Platform berkenaan juga disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Sekiranya terdapat bukti mana-mana platform bersubahat atau membantu aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast