KUALA LUMPUR – Aktiviti perlombongan bitcoin secara haram menggunakan premis sewaan dilaporkan menyebabkan kerugian tenaga elektrik melebihi RM4.8 bilion sejak tahun 2018, menurut laporan penguatkuasaan terkini.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan oleh penyewa yang secara diam-diam menjalankan operasi perlombongan mata wang kripto berskala besar dengan menyambung terus ke grid elektrik tanpa kebenaran Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Peguam litigasi jenayah, Mathan Anandaram menzahirkan kebimbangan terhadap risiko undang-undang yang boleh dihadapi oleh pemilik hartanah sekiranya penyewa menyalahgunakan premis mereka untuk tujuan tersebut tanpa pengetahuan tuan rumah.
“Ramai pemilik premis tidak sedar bahawa mereka boleh dipertanggungjawabkan walaupun tidak mengetahui penyewa menjalankan aktiviti perlombongan haram,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Menurutnya, di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, perbuatan mengusik atau mencuri bekalan elektrik merupakan kesalahan jenayah serius yang boleh membawa kepada pendakwaan dan tuntutan sivil.
“Dalam banyak kes, TNB telah mengambil tindakan terhadap pemegang akaun berdaftar, biasanya tuan rumah walaupun penyambungan haram dilakukan oleh penyewa,” jelasnya.
Mathan berkata, risiko yang dihadapi oleh pemilik termasuklah tanggungjawab sivil atas kerugian elektrik, kemungkinan disiasat jika didapati mengetahui penyambungan tidak sah serta kerosakan harta akibat beban elektrik berlebihan dan risiko kebakaran.
Beliau menasihatkan supaya pemilik premis mengambil langkah pencegahan termasuk menukar akaun elektrik kepada nama penyewa melalui proses rasmi Change of Tenancy (COT) memasukkan klausa larangan perlombongan kripto dalam perjanjian sewa serta memantau penggunaan elektrik secara berkala.
“Jika ada tanda-tanda mencurigakan seperti penggunaan elektrik terlalu tinggi, segera laporkan kepada TNB atau polis bagi mengelak dikaitkan dengan aktiviti jenayah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mathan turut menggesa TNB dan Suruhanjaya Tenaga mempertimbangkan reformasi dasar yang mewajibkan penyewa mendaftar akaun elektrik atas nama mereka sendiri.
Katanya, ia bagi meningkatkan akauntabiliti dan melindungi tuan rumah daripada liabiliti tidak langsung.
“Langkah ini sudah diamalkan di Singapura dan wajar dilaksanakan di Malaysia bagi mengelak pemilik harta menjadi mangsa,” ujarnya.
Tegas beliau, perlombongan bitcoin haram bukanlah perbuatan kecil atau tanpa mangsa kerana ia bukan sahaja merugikan negara, malah mengancam keselamatan awam dan membebankan pemilik yang tidak bersalah.
“Sebagai peguam yang sering membela tuan rumah dalam kes tuntutan TNB akibat penyalahgunaan elektrik oleh penyewa, saya amat prihatin terhadap hak mereka.
“Pemilik hartanah mesti bertindak lebih proaktif dan pembuat dasar perlu memperkukuh undang-undang agar tanggungjawab penggunaan elektrik dipikul sepenuhnya oleh pihak yang menggunakannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















